MUSTAPA (tiga dari kiri) melepaskan peserta Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia di Balai Berita, Bangsar.
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Mohd Idris Sulaiman

Bota: Nasib malang menimpa ribuan mangsa banjir di daerah Perak Tengah mendapat perhatian pihak Harian Metro melalui penganjuran Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bagi membantu penduduk di beberapa kampung terjejas semalam.

Program anjuran bersama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) selama dua hari itu membabitkan 130 sukarelawan kakitangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, ahli PSSCM, Kelab Basikal Harian Metro (HMCC) dan Big Bike Riders.

Pelepasan konvoi misi bantuan dari Balai Berita The New Straits Times Press (M) (Bhd) Bangsar, Kuala Lumpur ke daerah ini disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar kira-kira jam 8 pagi semalam.

Mustapa berkata, seramai 1,000 keluarga daripada 13 kampung di sekitar Lambor Kanan dan Lambor Kiri di sini, menerima bantuan barangan keperluan asas dapur seperti beras, minyak, tepung, makanan serta makanan dalam tin bernilai RM200 bagi setiap keluarga.

Menurutnya, kerja pembersihan dan membaikpulih tiga Sekolah Agama Rakyat (SAR) iaitu SAR As-Sibyan Kampung Tua, SAR Al- Falahiyah Kampung Talan dan SAR Kampung Rimba Raja turut diadakan anggota sukarelawan.

“Ini termasuk sumbangan barang kelengkapan sekolah seperti meja, kerusi, meja guru dan almari bernilai RM75,000,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 13 ketua kampung mewakili 1,000 keluarga di Pusat Kegiatan Pelajar Perak Tengah di Lambor di sini.

Hadir sama Pengerusi Sambutan Perayaan Jubli Emas PSSCM Mohd Fizol Mohd Saad, Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan dan Penghulu Mukim Lambor Ahmad Hussein.

Beliau berkata, pihak TKHM turut menyampaikan sumbangan al-Quran, sejadah dan perabot bernilai RM25,000 kepada Surau Kampung Rimba Raja, Lambor Kanan di sini.

“Program ini adalah kali kedua dianjurkan akhbar Harian Metro selepas daerah Temerloh, Pahang pada 3 Januari lalu. Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban ditanggung mangsa banjir selaras dengan tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.

“Harian Metro juga berterima kasih kepada orang ramai yang menghulur sumbangan menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan penghargaan kepada PSSCM kerana tampil menaja kos operasi misi bantuan dikelolakan pihak Titipan Kasih Harian Metro,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 9:05 AM