X

Kampar: Seorang kelindan lori membawa muatan barangan kurier maut selepas kenderaan dinaikinya melanggar sebuah lori lain membawa muatan dedak ayam dalam kemalangan di Kilometer 295.8, Lebuh raya Utara-Selatan di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Yusri Yahya, 41, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori Wan Hafizi Wan Isman, 24, serta pemandu lori dedak ayam Mohamad Alias Jailani, 46, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati lori membawa muatan barangan kurier dari arah Kuala Lumpur menghala Ipoh itu gagal dikawal lalu merempuh lori di hadapannya.

Beliau berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan kelindan lori berkenaan cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

“Lori jenis Hicom itu mengalami kerosakan teruk di bahagian depan manakala lori membawa dedak ayam jenis Hino pula mengalami kerosakan di bahagian belakang kanan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 4:58 AM