LONGGOKAN sampah-sarap di Medan Selera Ampang Hilir.
LONGGOKAN sampah-sarap di Medan Selera Ampang Hilir.
Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris

Kuala Lumpur: Usaha memerangi pembiakan tikus menerusi Kempen 1 tikus 1 ringgit yang dicetuskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak dua tahun lalu akan tetap diteruskan walaupun jumlah tangkapan sepanjang 2014 tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL Dr Hayati Abdullah berkata, perkara itu selaras dengan matlamat DBKL untuk membendung pembiakan tikus di sekitar ibu kota di samping menyediakan kehidupan yang selesa bagi penduduknya.

Katanya, sasaran ditetapkan DBKL bagi tahun lalu adalah sebanyak 60,000 ekor, namun jumlah itu dilihat tidak mencapai sasaran walaupun pelbagai usaha dilakukan di beberapa lokasi yang dikatakan menjadi ‘lubuk’ haiwan perosak itu giat dijalankan.

“Walaupun pelbagai aktiviti gotong-royong serta kempen 1 tikus 1 ringgit dijalankan sepanjang tahun lalu, namun kami masih gagal mencapai jumlah dikehendaki.

“Malah aktiviti gotong-royong dijalankan di Taman Sri Wilayah pada dua minggu lalu juga hanya berjaya menangkap 20 ekor tikus sahaja walaupun kawasan itu dikatakan didiami banyak tikus,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, DBKL kini lebih memfokuskan kepada kaedah pencegahan awal membabitkan tahap kebersihan di premis makanan yang dikhuatiri menjadi punca pembiakan tikus.

“Untuk gerai makan, DBKL sedang memantapkan tindakan pembersihan melalui perintah tutup gerai serta merobohkan struktur gerai usang yang tidak lagi beroperasi.

“Kami yakin dengan memfokuskan terhadap kebersihan di premis makanan, populasi tikus dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa premis makanan sekitar Ampang mendapati masih terdapat peniaga yang tidak menghiraukan soal kebersihan premis mereka dengan membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

Seorang pengusaha gerai makanan, Khamsiah Yusof, 45 berkata, masalah dihadapi itu bukan lagi satu perkara baru sebaliknya sudah berlarutan hampir setahun.

“Sepanjang dua tahun saya berniaga di sini memang banyak masalah tikus dihadapi, malah saiz tikus yang berlegar di kawasan ini dilihat semakin membesar. Saya yakin semuanya berpunca daripada sampah-sarap yang dilonggokan di belakang premis ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada masa sama, seorang lagi peniaga makanan, Shahrul Anuar, 37, turut berharap supaya kempen 1 tikus 1 ringgit diteruskan bagi menjadikan persekitaran di setiap kawasan di bandaraya ini kekal bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:40 AM