Kuala Lumpur: Ketagih melayari laman sosial Facebook (FB) dan WhatsApp menyebabkan seorang lelaki tergamak menendang isterinya di sebuah pusat beli-belah di Setapak di sini.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari kelmarin, mangsa berusia 43 tahun dikatakan pergi ke pusat beli-belah itu bersama suaminya berusia 35 tahun.

Sumber berkata, mangsa bagaimanapun tidak tahan melihat gelagat suaminya leka bermain FB dan WhatsApp sehingga tidak mempedulikannya.

Menurutnya, wanita itu kemudian menegur perbuatan suaminya hingga mengundang kemarahan suspek.

“Suspek yang berang dengan teguran itu bertindak memarahi isterinya.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut menendang perut isterinya berulang kali serta memukul kepala isterinya menggunakan kasut,” katanya.

Menurutnya, suspek terus memukul isterinya walaupun dirayu menghentikan tindakan itu.

“Malah suspek tidak mengendahkan kehadiran orang ramai yang turut menyaksikan perbuatan ganas itu.

“Mangsa kemudian bertindak nekad melarikan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:45 AM