KAZIM (tengah) bersama wakil NGO selepas membuat laporan di Balai Polis Manjoi, semalam.
KAZIM (tengah) bersama wakil NGO selepas membuat laporan di Balai Polis Manjoi, semalam.
Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan kerajaan (NGO) termasuk Datuk Mohamad Kazim Elias sendiri membuat laporan polis, di sini, semalam terhadap seorang lelaki yang membuat tuduhan kononnya ceramah agama disampaikan pendakwah terkenal itu sebagai berbaur hasutan.

Semua wakil dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Negeri Perak, Wira Perkasa Negeri Perak, Wira Perkasa Malaysia, Majlis Ayahanda-Ayahanda Negeri Perak (MAAP), Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan Gabungan Rakyat Junjung Perlembagaan Malaysia (GARAP) bersama Mohamad Kazim membuat laporan itu di Balai Polis Manjoi jam 10 pagi.

Laporan itu dibuat berikutan tindakan seorang individu bernama Pui Tiong Lam membuat laporan di Balai Polis Machang, Kelantan, kelmarin dengan mendakwa ceramah agama disampaikan Mohamad Kazim yang ditontonnya melalui satu klip video aplikasi WhatsApp sebagai menghina kaum Cina.

Ketua Wira Perkasa Malaysia Irwan Fahmi Ideris berkata, video bertajuk ‘Daulat Tuanku’ dan berdurasi hampir satu jam setengah dirakam enam tahun lalu sebelum dieksploitasi pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

“Apakah tujuan sebenar dia (Pui Tiong Lam) membuat laporan polis? Adakah untuk memberi tekanan terhadap orang yang beragama Islam dan penceramah agama supaya mereka dikecam,” katanya semalam.

Irwan Fahmi berkata, peruntukan Perkara 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan jelas membolehkan undang-undang diluluskan untuk menyekat dan mengawal penyebaran agama lain kepada penganut Islam.

“Ini bermakna mana-mana negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya berhak menyekat perkembangan agama lain terhadap orang beragama Islam.

“Justeru, kami melihat perkara diperkatakan oleh pendakwah itu (dalam klip video) bukan satu kesalahan atau hasutan seperti didakwa, sebaliknya mempertahankan pasukan keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan MAAP Datuk Halim Ramli turut mempersoalkan tindakan pihak itu yang memperbesarkan isu itu selepas sekian lama klip video itu dirakam.

“Video dirakam hampir satu jam setengah, tetapi kenapa slot yang hanya ditujukan kepada pihak tertentu saja yang ditonjolkan? Sebenarnya Datuk Ustaz Kazim memperkatakan mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan bomba serta bagaimana pengorbanan mereka terhadap seluruh rakyat Malaysia termasuk orang Cina,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Kazim enggan mengulas perkara itu selepas dinasihatkan polis supaya tidak membuat kenyataan kerana beliau orang yang dilaporkan dalam aduan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:06 AM