Kota Bharu: “Emak tak pernah marah, malah dia arah saya gunakan motosikal ini untuk mengambilnya pulang dari kerja,” kata seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen sah.

Pelajar tingkatan tiga dari Tanjong Mas di sini, adalah seorang daripada 55 penunggang motosikal berusia 14 hingga 40 tahun yang ditahan atas pelbagai kesalahan ketika Ops Lejang Bersepadu di sekitar Sabak, Pengkalan Chepa di sini.

Dalam operasi bermula 6 petang kelmarin, sebanyak 223 kenderaan diperiksa termasuk 120 motosikal.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, sebanyak 31 kesalahan direkodkan terutama menunggang motosikal tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, berhenti di lorong kecemasan, ubah suai dan motosikal negara jiran yang diragui tidak mendapat kelulusan.

“Polis merampas empat motosikal diubah suai tanpa kebenaran dan dibawa masuk dari negara jiran tanpa dokumentasi sah.

“Polis menahan 55 individu selepas didapati positif syabu,” katanya.

Rohaimi berkata, operasi bersepadu itu akan diteruskan sebulan dalam usaha mengurangkan jenayah di daerah ini.

“Kami memandang serius isu pelajar menunggang motosikal tanpa lesen dan menggerakkan kempen secara agresif supaya beri kesedaran kepada mereka .

“Ibu bapa juga perlu sedar risiko penunggang motosikal bawah umur dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka jika didapati bersalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:14 AM