MATRANG menunjukkan alat Sicpa Mobile 45 untuk mengesan minuman keras seludup yang ditampal setem cukai palsu.
Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Puchong: Bagi mengelak ketirisan hasil kerajaan bernilai ratusan juta ringgit setahun, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini memperkenalkan gajet khas untuk mengesan penjualan minuman keras seludup yang ditampal dengan setem cukai palsu.

Malah, orang ramai juga boleh mengimbas setem cukai berkenaan menggunakan telefon bimbit dengan syarat memuat turun aplikasi gajet berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM Datuk Matrang Suhaili berkata, alat dikenali ‘Sicpa Mobile 45’ atau ‘SM 45’ itu mula digunakan sejak Disember lalu pada setem keselamatan cukai baru yang mempunyai ciri alih warna, pempolaran dan penanda forensik berteknologi tinggi.

“Apabila setem keselamatan baru yang mempunyai ciri alih warna itu diimbas gajet ‘SM 45’, skrin alat berkenaan akan memaparkan semua maklumat berkaitan produk seperti jenis, kekuatan spirit, isipadu, tarikh pengimportan, nama pengimport sehinggalah ke peringkat peruncitan.

“Malah kecanggihan setem ini juga membolehkan ia diimbas menggunakan telefon pintar oleh pengguna menggunakan platform android dan akan diperluaskan melalui iOS (Apple),” katanya pada pelancaran gajet itu di pasar raya Tesco Extra Puchong, di sini semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:23 AM