ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran.

Klang: “Pelbagai perabot antik mencecah ratusan tahun di tingkat atas mungkin sudah menjadi abu,” kata Setiausaha Persatuan Kim Mooi Selangor Lee Lay Ping, selepas bangunan persatuan itu hangus dijilat api dalam kebakaran di Jalan Bukit Kuda, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, bangunan dua tingkat yang menempatkan perabot antik di tingkat atas dan kedai komputer di bawah itu musnah dalam kebakaran.

Lee, 44, berkata, dia hilang kata-kata apabila mendapat tahu bangunan yang menempatkan kira-kira 100 perabot antik itu terbakar.

“Perabot berkenaan adalah warisan daripada generasi terdahulu daripada persatuan kami. Kebanyakannya dihasil sebelum Perang Dunia Kedua dan harganya memang tidak ternilai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bertugas di bangunan baru persatuan berkenaan di jalan sama sebelum dimaklumkan rakan.

“Api cepat merebak kerana bangunan berusia 75 tahun itu dibina menggunakan kayu, namun saya berharap masih ada perabot yang dapat diselamatkan,” katanya.

Pemilik kedai komputer, V Raja, 55, berkata, dia kerugian kira-kira RM100,000 apabila pelbagai alat komputer hangus dijilat api.

“Saya mungkin terpaksa menggantikan balik komputer milik pelanggan yang dihantar ke kedai dan kebanyakannya dihantar agensi kerajaan.

“Bukan saja barang serta alat ganti hangus, tetapi segala dokumen berkaitan juga tidak dapat diselamatkan.

“Ketika kejadian memang tiada sesiapa di premis kerana saya keluar menghantar barang kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang Penolong Penguasa Bomba Zaidi Ahtan berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kebakaran bermula dari kedai komputer berkenaan.

“Namun punca sebenar masih dalam siasatan selain anggaran kerugian masih belum diketahui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 8:49 AM