ANGGOTA JPAM menangkap buaya yang terperangkap pada jaring seorang penduduk.
Oleh Alias Abd Rani

Kota Samarahan: Lain dicari lain yang dapat. Begitulah situasi menakutkan dialami dua sahabat apabila jaring dipasang tersangkut seekor buaya sepanjang empat meter berhampiran Sungai Samarahan, di sini, semalam.

Mohd Shafiq Sabrudin, 22, dan Ibrahim Ismail, 58, memasang jaring pada jam 6.30 pagi sebelum keluar menjenguk hasil tangkapan kira-kira empat jam kemudian.

“Kami memasang jaring berdekatan anak sungai dalam ladang sawit. Seperti kebiasaan, kami akan turun awal pagi dan beberapa jam kemudian akan melihat jika ada ikan tersangkut atau tidak.

“Pada hari kejadian, Ibrahim kebingungan kerana jaring dipasang hilang. Dia kemudian mencari di sekitar anak sungai terbabit sebelum ternampak jaringnya di celah rumput.

“Ketika itu, jaring bergerak, seolah-olah ada sesuatu tersangkut. Tanpa membuang masa, dia menarik dan terkejut apabila melihat seekor buaya muncul,” kata Muhd syafiq.

Katanya, Ibrahim memaklumkan jaringnya tertangkap seekor buaya sebelum segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mendapatkan bantuan.

“Reptilia itu mungkin terperangkap kerana kawasan ini dilanda banjir sejak beberapa hari lalu. Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Samarahan Ahmad Shah Fikri Darus berkata, pihaknya menerima panggilan 11.30 pagi sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi.

“Reptilia itu berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:33 AM