Kota Bharu: Sebanyak 20 masjid di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir, Disember lalu, menerima sumbangan RM200,000 daripada Media Prima Berhad (MPB).

Bantuan wang tunai di bawah Tabung Bencana New Straits Times Press (NSTP)-Media Prima itu diserahkan Pengurus Cawangan NSTP Kota Bharu, Izzudin Mahmood kepada Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Mohd Azri Abd Rahman di pejabat MAIK di sini, semalam.

Izzudin berkata, setiap masjid di empat daerah iaitu Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Mas dan Tanah Merah itu dipilih MAIK sendiri, sekali gus menerima RM10,000.

“Antara masjid yang tersenarai adalah Masjid Manek Urai Lama, Mukim Kemubu dan Kuala Nal di Kuala Krai, Masjid Razaleigh, Mukim Kampung Limau Kasturi dan Mukim Sungai Bedal di Gua Musang, Masjid Mukim Pasir Sat dan Mukim Kerila di Tanah Merah serta Masjid Mukim Kubang Panjang dan Tendong di Pasir Mas,” katanya.

Terdahulu penyerahan replika cek itu dilakukan pada 26 Januari lalu oleh Pengerusi MPB Tan Sri Johan Jaafar kepada Presiden MAIK Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Fa-iz Petra di Istana Kota Lama, di sini.

Mohd Azri berkata, pihaknya menyerahkan cek itu kepada imam masjid pada majlis bakal diadakan.

Katanya, daripada 582 masjid di Kelantan, 74 terjejas teruk dan kini dalam proses membaik pulih.

“Kami menerima RM50 juta dengan RM2.3 juta diperuntukkan ke atas 74 masjid yang terjejas teruk, manakala selebihnya kegunaan masjid lain.

“Proses membaik pulih bermula sejak sebulan lalu dan disiapkan secepat mungkin bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 7:37 AM