Kuala Nerus: Kerajaan negeri Terengganu akan memberi bimbingan kaunseling kepada wanita dan lelaki, terutama remaja yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh serta mendedahkan tubuh.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, mereka yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan diberi kaunseling bersama ibu bapa.

Katanya, walaupun JHEAT boleh mengenakan tindakan mengikut Seksyen 33, 34 dan 35, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, kerajaan negeri berpendapat kaedah memberi bimbingan dan kaunseling memadai untuk kesalahan pertama.

“Kerajaan negeri kini dalam proses mengenal pasti lokasi termasuk Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Seberang Takir, di sini, untuk dijadikan pusat kaunseling.

“Walaupun kita tidak bercadang mengenakan tindakan mengikut seksyen itu, mereka yang ditahan tetap dikenakan denda melakukan kerja komuniti, termasuk menjaga golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya selepas merasmikan majlis penghargaan Skuad Sukarelawan Permata Tranformasi Terengganu Baharu (TTB) di Bangunan Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, di sini, semalam.

Ahmad Razif berkata, golongan ini boleh berubah daripada melakukan perbuatan tidak berfaedah tetapi perlu diberi bimbingan termasuk menyertai aktiviti sukarelawan.

Katanya, kes remaja perempuan mendedahkan bahagian tubuh serta berpakaian ketat menyebabkan menimbulkan ghairah semakin berkurangan sejak JHEAT menguatkuasakan peraturan itu.

“Daripada tujuh kes ketika kali pertama JHEAT menyertai operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) minggu lalu, hanya tiga kes dilaporkan Rabu lalu,” katanya.

Ahmad Razif berkata, kebanyakan remaja berpakaian ketat dan menjolok mata didapati membonceng motosikal teman lelaki dan ditahan lewat tengah malam.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001, remaja wanita yang mendedahkan bahagian tubuh serta menampakkan susuk tubuh dengan berpakaian ketat di tempat awam, adalah melakukan kesalahan dan boleh didakwa mengikut Seksyen 35.

Bagi lelaki berpakaian dan berlagak seperti perempuan di tempat awam atas tujuan tidak bermoral boleh didakwa mengikut Seksyen 33, manakala mereka yang berkelakuan tidak sopan dan bertentangan dengan hukum Syarak boleh didakwa mengikut Seksyen 34 Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:17 AM