Shah Alam: Tindakan seorang lelaki yang juga penyokong bola sepak mencium pipi seorang anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) wanita di Stadium Shah Alam, malam kelmarin, membawa padah apabila dia ditahan selepas kejadian itu.

Kejadian jam 9.45 malam itu berlaku selepas tamat perlawanan bola sepak Liga Super di antara pasukan Selangor dan JDT di stadium berkenaan.

Ketika menjalankan tugas mengawal keadaan, konstabel berusia 31 tahun itu secara tiba-tiba didatangi lelaki berkenaan seterusnya mencium pipi kanan mangsa.

Malah, lelaki itu juga cuba mencium pipi rakan mangsa namun tidak berjaya selepas ditolak sebelum suspek melarikan diri.

Selepas kejadian mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuat laporan polis di Balai Polis Level O.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek berjaya ditahan selepas kejadian dan hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit tidak siuman.

“Hasil soal siasat kita dapati suspek tidak siuman, malah ada surat pengesahan doktor yang menyatakannya sakit mental.

“Berikutan itu kita sudah membebaskannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 7:48 AM