Sungai Siput: Tindakan licik dua pengedar dadah berusia 30-an dan 50-an yang cuba bersembunyi di kawasan parkir Hospital Sungai Siput di sini dan menyembunyikan bungkusan dadah seberat 950.82 gram di bahagian brek tangan kenderaan itu gagal apabila perbuatan suspek berjaya dikesan anggota polis.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi Rabu lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput membuat pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek sehingga berjaya merampas empat bungkusan dadah jenis heroin seberat 950.82 gram bernilai RM16,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, suspek dari Pendang, Kedah, itu dipercayai cuba mengedar dadah kepada penagih sekitar daerah ini.

“Ketika serbuan, anggota kami menahan sebuah kereta Proton Perdana hitam bercermin gelap yang diberhentikan di tempat parkir dengan enjin kereta masih hidup dan keempat-empat pintu dan cermin tertutup dan kenderaan berkunci.

“Suspek enggan bekerjasama apabila diminta membuka pintu kenderaan itu sehingga anggota kami terpaksa bertindak memecahkan cermin pintu penumpang sebelah kiri sebelum menggeledah kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan suspek yang enggan memberi kerjasama menyebabkan berlaku pergelutan sebelum anggota polis bertugas berjaya menangkap suspek.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, kami percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah berkuantiti besar di kawasan Sungai Siput,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 8:13 AM