MUHYIDDIN melihat buku ketika melancarkan Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan pengasingan sisa pepejal isi rumah secara mandatori mulai September ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peraturan itu akan dikuat kuasakan secara berperingkat dan kutipan sisa yang diasingkan itu akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, peraturan itu akan dijalankan sepenuhnya di negeri yang menggunapakai Akta 672 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah,

“Pelaksanaan peraturan baru ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan yang semakin meruncing ketika ini, sekali gus meningkatkan aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle).

“Kerajaan berharap rakyat dapat bekerjasama untuk melaksanakan program pengasingan sisa pepejal, yang pastinya dapat menjana faedah besar kepada rakyat, di samping meningkatkan kebersihan dan keindahan serta mengatasi isu kesihatan berpunca dari persekitaran yang kotor,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Arpah Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Solid Waste Corporation (SWCorp) Datuk Ab Rahim Md Noor dan Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat.

Muhyiddin berkata, Pelan Transformasi Minda adalah pelan komprehensif dan holistik untuk membentuk minda, sikap dan tabiat serta budaya masyarakat kelas pertama supaya lebih bertanggungjawab, memiliki etika, minda yang progresif dan kesedaran budaya yang tinggi khususnya dalam isu persekitaran dan kebersihan.

Katanya, kerajaan juga berharap pelan ini akan meletakkan Malaysia pada landasan betul dan terarah khususnya dalam mencapai hasrat untuk disenaraikan sebagai 10 negara yang terbersih di dunia menjelang 2020.

“Sasaran itu berdasarkan inisiatif yang dilakukan, walaupun agak tinggi berbanding kedudukan kita ketika ini yang berada pada senarai 51, tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai menerusi kempen berterusan,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, sikap kurang prihatin dan tidak bertanggungjawab menyebabkan jalan raya dan tempat awam dicemari sampah dan memerlukan pembersihan setiap hari menyebabkan kerajaan membelanjakan lebih RM1.4 bilion bagi kos perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pada tahun lalu saja.

“Ini adalah satu pembaziran kepada kerajaan dan kerugian kepada masyarakat sendiri sekiranya kita tidak dapat meningkatkan sikap dan perasaan lebih bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan kesihatan awam.

“Sikap acuh tidak acuh terhadap kepentingan menjaga kebersihan juga menyumbang kepada merebaknya pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit seperti demam denggi dan kencing tikus,” katanya.

Menurutnya, melalui kajian yang dilakukan kementerian, jumlah janaan sisa pepejal dalam negara meningkat kepada 33,000 metrik tan pada 2013 berbanding 19,000 metrik tan pada 2005, dengan purata pertambahan janaan setahun dua kali ganda iaitu 6.7 peratus berbanding tiga peratus di peringkat global.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilaksanakan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai amalan kitar semula, tetapi tahapnya masih rendah dengan kadar kitar semula nasional ketika ini hanya 10.5 peratus sahaja dari jumlah bahan buangan yang dilupuskan berbanding lebih 40 peratus di negara maju.

“Jumlah bahan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap tahun dianggarkan sebanyak 2.3 juta tan dengan nilai mencecah RM900 juta.

“Pastinya, peningkatan kadar kitar semula akan memberi manfaat besar dari segi penggunaan semula sumber dan peningkata ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Kelab Kitar Semula yang mengadakan program Bank Kitar Semula bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kitar semula.

Menurutnya, hasilnya sejak 2010 hingga 2014, sebanyak 1.2 juta kilogram (kg) barangan kitar semula berjaya dikumpul dan hasil jualan barangan ini berjumlah RM335,000.

“Jadi, saya menyeru semua sekolah yang belum menubuhkan kelab ini supaya melaksanakannya sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk mendidik dan meningkatkan amalan kitar semula supaya sasaran pengurangan sisa ke tapak pelupusan sebanyak 40 peratus dapat dicapai menjelang 2020,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 9:26 AM