Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan dua pihak sudah membayar deposit RM5,000 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada 22 Mac ini.

Pengarah SPR Kelantan Mohamad Mahmud berkata, pihaknya menjangkakan seorang lagi individu akan berbuat demikian pada proses penamaan calon hari ini.

Katanya, keseluruhan 15 borang pencalonan diambil oleh beberapa individu menjelang penamaan calon.

“Dua pihak sudah membuat pembayaran deposit dan kita jangka esok (hari ini) seorang lagi individu akan berbuat demikian. Dua dari Bebas manakala satu dari PAS.

“Saya anggap PRK kali ini meriah kerana akan ada pertandingan,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia akibat barah prostat 12 Februari lalu di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, di sini.

Berikutan itu, SPR menetapkan 10 Mac ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal pada 18 Mac selain hari pengundian pada 22 Mac.

PRK dijangka menyaksikan pertembungan PAS dengan calon bebas berikutan Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding kerana mahu memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pascabanjir di Kelantan selain sebagai tanda menghormati Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2015 @ 8:22 AM