Kota Bharu: “Memang luar kebiasaan (pilihan raya) di Kelantan, ramai calon bertanding, tapi jika semua patuh peraturan, insya-Allah ia akan jadi pilihan raya kecil (PRK) terbaik,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Proses penamaan calon PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Chepa di sini, semalam menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan calon PAS dan empat bebas.

Beliau berkata, calon bertanding yang ramai akan memeriahkan suasana pilihan raya, namun mahu semua pihak akur dengan undang-undang dan peraturan sudah ditetapkan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya Kecil (PPKPRK) dibarisi pegawai SPR, polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil setiap calon bertanding akan menjadi pemantau utama sepanjang tempoh kempen yang bermula semalam hingga 21 Mac.

“Kita juga mengharapkan proses penamaan yang berlangsung dengan damai dan tenang ini (semalam) akan berlanjutan hingga hari pengundian pada 22 Mac nanti.

“Kerana hari ini (semalam) tiada pergaduhan atau kata-kata kesat dilemparkan, perkara yang kita tak inginkan juga tidak berlaku termasuklah tiada bendera parti dipasang sebelum kempen rasmi.

“Jika ini boleh dikekalkan, tidak mustahil PRK DUN Chempaka juga boleh jadi yang terbaik seperti di Balingian, tahun lalu,” katanya pada sidang media di Pusat Penamaan Calon, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:08 AM