MANGSA parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans.
ANGGOTA bomba memeriksa bas kilang yang terbabas di Lebuhraya Tun Lim Chong Eu berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Bayan Lepas.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my

Balik Pulau: “Saya terkejut apabila terdengar suara pemandu bas melaung kuat dari tempat duduk pemandu memberitahu semua penumpang brek bas rosak.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kecuali menundukkan kepala dan sejurus kemudian kepala saya terhantuk pada tempat duduk penumpang depan,” kata Ade Sofitri, 28, mangsa kemalangan bas kilang di depan kilang Robert Bosch, Bayan Lepas, awal pagi semalam.

Ade yang bekerja di kilang Flexus Bayan Baru yang cedera di muka dan kepala bersyukur kerana tiada yang terkorban dalam kemalangan itu tetapi ia menjadi pengalaman ngeri pertama dilaluinya sejak bekerja di negara ini.

Menurutnya, dia melihat bas bergerak laju sebelum melanggar tiang konkrit jejambat yang sedang dalam pembinaan sebelum bumbung bas berkenaan tercabut.

“Selepas bas berhenti, saya nampak bumbung bas tercabut dan ramai rakan saya cedera dan berdarah,” katanya.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, bas kilang dipandu D Asoghan, 49, terbabas sebelum melanggar tiang konkrit jejambat yang masih dalam pembinaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ketika dalam perjalanan dari Relau ke Batu Maung.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:24 AM