Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Gombak: Seorang penjenayah hanya mengambil masa kurang 10 minit mencabut pemain cakera padat, lampu belakang kereta dan melarikan barang berharga dari dalam kenderaan.

Dalam kejadian jam 3 petang kelmarin, mangsa wanita berusia 28 tahun itu hanya menyedari kejadian itu selepas meletakkan kenderaan itu di bawah pangsapuri di Bandar Baru Selayang di sini.

Sumber berkata, mangsa yang meletakkan sementara keretanya hanya menyedari kejadian berlaku selepas mendapati cermin keretanya dipecahkan.

“Siasatan awal mendapati cermin tingkap pintu belakang kereta mangsa model Perodua Viva itu dipecahkan suspek menggunakan objek tumpul.

“Beberapa komponen berharga seperti pemain cakera padat dan lampu belakang kereta dilarikan penjenayah selain wang tunai RM3,000,” katanya.

Sumber berkata, kejadian jenayah seumpama itu sudah kerap kali berlaku di kawasan sama.

“Siasatan lanjut termasuk mendapatkan kesan cap jari suspek selain merakam keterangan saksi,” katanya.

Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 8:32 AM