Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Dua sahabat yang menjalankan kegiatan menjual dadah dikesan menggunakan beg plastik berisi puluhan peket heroin untuk mengagihkan dadah kepada pelanggan.

Kedua-dua mereka berusia 30-an bagaimanapun ditahan polis di Jalan Ipoh di sini, jam 7.30 malam, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, ketika ditahan, dua suspek itu dikesan membawa satu beg plastik mengandungi 10 peket kecil dipercayai mengandungi dadah heroin.

“Ekoran penahanan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Kuching di sini. Polis menemui bungkusan dadah heroin seberat 410 gram.

“Ujian air kencing terhadap suspek didapati mereka positif morfin,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 8:12 AM