Jamilulehsan dan isterinya  mendukung  Aril sebelum berlepas ke Shanghai.
Jamilulehsan dan isterinya mendukung Aril sebelum berlepas ke Shanghai.

Putrajaya: Muhd Aril Zafran bayi berusia lapan bulan mengalami penyakit hati kronik ‘Biliary Atresia’ berlepas ke China, semalam bagi menjalani pembedahan pemindahan hati di Shanghai.

Dia yang ditemani bapa Jamilulehsan Mohd Taridi dan ibunya, Nur Amirah Syazwani Pandi berlepas pada jam 9.30 pagi, dan difahamkan keluarga itu akan berada di China sehingga 1 Jun ini.

Walaupun mereka sekeluarga hampir terlepas menaiki pesawat berkenaan, tetapi nasib menyebelahi mereka apabila ada pihak sempat memaklumkan perkara itu sebelum terlambat.

Kesilapan itu hampir berlaku kerana Jamilulehsan dan Nur Amirah tidak mengetahui mereka perlu mendaftar masuk dua jam sebelum penerbangan dijadualkan berlepas pada jam 9.30 pagi semalam kerana ini pengalaman pertama menaiki pesawat.

Jamilulehsan berkata, disebabkan tidak pernah menaiki pesawat, dia dan isteri tidak tahu mereka perlu mendaftar masuk lebih awal, tetapi bersyukur kerana ada pihak sempat memaklumkan perkara itu sebelum terlambat.

“Alhamdulillah, walaupun dalam masa yang suntuk, urusan kami dipermudahkan. Saya memang ada di sini sejak jam 8 pagi, tetapi tidak mendaftar masuk terlebih dahulu kerana menyangka tidak perlu.

“Mungkin sudah tersurat rezeki kami untuk pergi juga mendapatkan rawatan di sana. Terima kasih kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Akhbar sebelum ini memaparkan keadaan bayi Muhd Aril menghidap penyakit hati kronik memerlukan RM250,000 bagi pembedahan pemindahan hati di India, namun akhirnya memutuskan ia dilakukan di China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:06 AM