MUHYIDDIN beramah mesra ketika tiba di Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh.
Oleh Ibrahim Isa

Pagoh: Walaupun sedar peningkatan pelbagai kos menyebabkan syarikat kenderaan awam menanggung kerugian, kerajaan tetap mengarahkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menangguhkan kenaikan harga tambang berikutan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kabinet bersetuju menangguhkan peningkatan harga tambang kerana ia tidak sesuai dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, mereka membincangkan perkara itu dan tahu sebab kenaikan harga tambang namun perlu memikirkan kepentingan orang ramai yang menggunakannya.

“Semalam (kelmarin) kabinet membincangkan perkara itu (kenaikan tambang) dan berpendapat asas kenaikan seperti sudah lama tidak dinaikkan dan pengusaha (pengangkutan awam) menanggung kerugian berikutan peningkatan kos.

“Keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat membayar gaji pekerja dengan setimpal. Isu yang timbul termasuk soal kecekapan dan mereka merayu kepada pihak berkenaan.

“Mereka mempunyai asas, namun soal berbangkit adalah ‘timing’ (masa tidak sesuai),” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan-cawangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pagoh di Seri Pekembar di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, walaupun mempunyai asas kukuh tentang pengumuman dilakukan SPAD itu, namun ia dilihat tidak sesuai pada masanya terutama apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

“Masanya tidak sesuai dan ia diumumkan hampir sama dengan pelaksanaan GST. Kami tidak mahu beban penduduk bertambah terutama penduduk bandar yang menggunakan pengangkutan awam.

“SPAD perlu melihat keadaan itu secara keseluruhan dan menunggu masa sesuai untuk mengumumkan kenaikan tambang pada masa akan datang,” katanya.

Khamis lalu, SPAD mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus manakala bas ekspres naik sehingga 22.6 peratus bermula 15 Mei ini.

Kenaikan tambang itu berikutan peningkatan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam termasuk kos penyelenggaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 8:24 AM