Skip this ad x
MOHD Rosli mengucup anaknya, Raef Uqael.
Oleh Suraya Roslan dan Muhammad Saufi Hassan

Kajang: “Saya tidak kisah hilang nyawa, asalkan anak tunggal kami sihat sama seperti kanak-kanak lain. Tidak mengapa, saya dermakan sebahagian hati kerana saya mahukan anak menjalani hidup seperti kanak-kanak lain. Ini pengorbanan saya untuknya.”

Demikian keputusan nekad seorang bapa yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan mendermakan sebahagian hatinya kepada cahaya mata kesayangan, sekali gus memberi sinar kehidupan baru buat kanak-kanak itu.

Bapa berkenaan, Mohd Rosli Abdul Rani, 38, berkata, cahaya mata kesayangan itu, Raef Uqael, 4, menghidap penyakit Biliary Atreasia sejak berusia dua minggu dan dia berhasrat untuk melakukan pemindahan hati terhadap anaknya dengan kos pembedahan sekitar RM300,000.

Menurutnya, pembedahan itu perlu dilaksanakan dalam masa terdekat berikutan doktor mengesahkan bahawa anak tunggalnya itu sudah berada di ‘peringkat akhir’ penyakitnya.

Difahamkan, penyakit itu merosakkan saluran hempedu yang membawa cecair hempedu daripada hati ke usus dan mengakibatkan penyakit kuning berpanjangan seterusnya merebak ke hati.

Mohd Rosli berkata, dia mengambil keputusan itu berikutan naluri seorang bapa yang ingin melihat anaknya sihat sama seperti kanak-kanak lain biarpun terpaksa berdepan risiko kehilangan nyawa sendiri.

“Ajal maut itu kuasa Tuhan, jika dalam tidur pun kita boleh pergi (meninggal dunia). Saya tidak kisah hidup mati, asalkan saya dan isteri berikhtiar untuk mengubati penyakit yang dihidap Raef.

“Anak ini anugerah paling berharga daripada Allah, ia juga amanah untuk saya jaga. Apa saja saya sanggup lakukan asalkan Raef kembali sihat. Saya yakin setiap bapa di dunia ini akan melakukan perkara sama jika berdepan dengan masalah seumpama ini,” katanya kepada wartawan Metro Ahad ketika ditemui, di sini.

Mohd Rosli juga menegaskan bahawa dia tidak mahu dilihat sebagai ‘hero’ dengan tindakan nekadnya itu untuk mendermakan hatinya, tetapi keputusan itu didorong atas dasar kasih sayang kepada anak selain rasa tanggungjawab untuk menjaga amanah Tuhan.

Katanya, kelahiran anak tunggalnya itu sememangnya dinantikan oleh dia serta isteri termasuk keluarganya berikutan Raef Uqael adalah anak pertama mereka dan juga cucu pertama dalam keluarga.

“Kelahiran Raef memang dinantikan, baik saya sendiri, isteri, malah keluarga turut tertunggu-tunggu. Kami sudah menanti kehadirannya lebih dua tahun sebelum isteri disahkan mengandung.

“Bagaimanapun, Raef disahkan menghidap penyakit itu ketika berusia dua minggu berikutan demam kuning berpanjangan, selain najisnya berwarna pucat tidak seperti bayi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 9:49 AM