MANGSA (depan, kanan) sempat merakam gambar sebelum tergelincir.
Oleh Fardy Bungga

Ampang: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun terperangkap dan terpaksa menahan kesakitan lebih enam jam selepas tergelincir dari lereng Bukit Tabur, Hulu Klang, di sini.

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, mangsa, Qhairun Fatin Khairul Amin, sempat merakam gambar menggunakan telefon pintar ketika cuba menawan puncak bukit setinggi hampir 400 meter itu.

Bagaimanapun mangsa yang mendaki bukit itu bersama 11 rakan lain tergelincir sebelum menggelongsor jatuh ke bawah cerun bukit itu dari ketinggian 200 meter.

Mangsa yang mengikuti ekspedisi bersama bekas rakan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tembak, di sini, cedera di kepala dan tulang belakang.

Keadaan mangsa menyebabkan pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Wilayah Persekutuan mengambil masa tujuh jam menjejaki lokasi mangsa terperangkap.

Salah seorang rakan mangsa yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka memulakan ekpedisi seawal jam 8 pagi sebelum berhenti rehat di stesen ketujuh di bukit berkenaan.

Bagaimanapun sebaik meneruskan perjalanan, Qhairun Fatin dipercayai hilang kawalan sebelum tergelincir jatuh ke lereng bukit.

“Mangsa sebelum itu sempat menjerit sebelum dilihat menggelongsor ke bawah bukit.

“Kami kemudian berpatah balik ke kaki bukit dan menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, Qhairun teruja mengikuti ekspedisi itu walaupun dia tidak meminati bidang sukan lasak.

“Keadaan di lokasi kejadian agak berpasir dan mungkin itu menyebabkan dia (Qhairun) tergelincir. Kami tidak tahu apa yang berlaku terhadapnya selepas terjatuh,” katanya ketika ditemui, semalam.

Harian Metro difahamkan perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira dua jam dan usaha untuk mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran berikutan cerun bukit yang tinggi serta cuaca gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:12 AM