ANGGOTA JKDM Kelantan melakukan pemeriksaan ke atas rokok seludup yang ditemui sebaik memeriksa sebuah kedai di Jalan Mustafa, Tanah Merah.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Kelicikan seorang peniaga warga Bangladesh menjual rokok seludup di Taman Semarak, di sini, tidak bertahan lama apabila diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), petang semalam.

Serbuan Ops Outlet bermula jam 2.20 petang itu dilakukan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penjualan rokok seludup di premis kedai runcit milik lelaki berusia 37 tahun itu.

Lelaki itu dikatakan meraih keuntungan berganda dengan menjual rokok yang dipercayai diperoleh daripada sindiket penyeludupan rokok seludup.

Sindiket dikatakan sengaja mencari kedai runcit kecil yang diusahakan warga asing kerana sasaran utama penjualan rokok itu untuk warga asing, namun ada juga rakyat tempatan yang turut membeli rokok berkenaan.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan di premis lelaki terbabit, sejumlah 61 kotak rokok seludup dengan isian sebanyak 1,092 batang rokok ditemui dan dirampas.

Nilai rokok yang dirampas RM106.40 dan peniaga terbabit kemudian dibawa ke pejabat JKDM untuk siasatan lanjut sebelum didakwa di mahkamah atas kesalahan memiliki dan menjual rokok yang belum mendapat kelulusan daripada pihak kastam.

Ketika serbuan, lelaki itu memberi kerjasama dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang kes dan tidak lebih 20 kali ganda barang kes atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam serbuan sama di tiga negeri di Kelantan, Pulau Pinang dan Johor, kelmarin, tiga lelaki termasuk seorang warga India ditahan kerana menjual rokok seludup dalam premis masing-masing.

Walaupun ramai peniaga tahu mengenai kesalahan yang dilakukan, namun demi mengaut keuntungan dan hasutan sindiket, mereka seolah-olah lupa akan hukuman yang bakal dikenakan.

Namun sejak Ops Outlet dijalankan, kebanyakan peniaga tidak lagi menjualnya secara terbuka, sebaliknya menjualnya secara sembunyi dan hanya kepada pelanggan biasa sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 10:36 AM