Pegawai kastam Norsyakila Huda menggunakan alat penguji spektrum khusus untuk memastikan ketulenan berlian sebelum GST dipulangkan pada pelancong di KLIA, semalam.

Sepang: Beg tangan jenama Channel berharga RM16,000 adalah barang paling mahal diisytihar di Kaunter Verifikasi Pembayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak ia mula beroperasi semalam.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, beg tangan itu diisytihar pada hari pertama pengenalan Skim Pembayaran Balik Pelancongan (TRS) yang diperkenal bersempena pelaksanaan GST.

Katanya, setakat ini sebanyak 13 transaksi direkodkan di kaunter verifikasi di bawah TRS.

“Kebanyakan barang yang diisytihar adalah pakaian, jam tangan serta piuter dan berdasarkan resit kebanyakan barang dibeli di Suria KLCC, Pavilion dan Bukit Bintang,” katanya kepada Bernama selepas meninjau Kaunter Verifikasi Pembayaran Balik CBP di KLIA, semalam.

TRS diperkenal bertujuan memudahkan pelancong asing menuntut kembali jumlah GST yang dibelanjakan ke atas barangan yang dibeli daripada 800 peruncit yang berdaftar di bawah skim itu.

Untuk membolehkan pelancong menuntut semula GST, mereka perlu datang ke kaunter verifikasi lengkap dengan barangan yang perlu diisytihar; resit pembelian; pasport; pas pelepasan dan borang tuntutan GST yang diperoleh daripada premis (tempat membeli barang) selepas membuat bayaran. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 10:19 AM