KERETA yang terbakar selepas siap dibaiki di sebuah bengkel.
KERETA yang terbakar selepas siap dibaiki di sebuah bengkel.

Kota Bharu: “Saya hanya fikirkan nyawa sahaja ketika itu,” kata Ismail Hamad, 67, selepas kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Pasir Puteh, Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Ismail bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaannya hangus terbakar.

Menceritakan detik cemas itu, Ismail berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Puteh selepas mengambil keretanya yang baru siap dibaiki di sebuah bengkel di bandar Kota Bharu.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba hadapan keretanya dipenuhi asap.

“Saya cuba memberhentikan kenderaan di tepi jalan, namun gagal sehingga terpaksa melanggar pembahagi jalan dan ia berhenti sendiri.

“Apabila saya keluar, kereta terus terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ismail berkata, dia hanya mampu melihat kereta yang digunkan sejak dua tahun lalu itu terbakar dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana api merebak dengan cepat.

“Dalam tempoh 15 minit, kereta itu hangus, bagaimanapun saya bersyukur terselamat,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan II Ayub Mustafa dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.01 pagi sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, hampir 90 peratus kereta berkenaan sudah hangus terbakar.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 7:17 AM