UNIT anjing pengesan digunakan untuk mengesan bom di pekarangan mahkamah.

Shah Alam: Suasana tenang di bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, gempar apabila kakitangan mahkamah menerima panggilan ancaman bom di bangunan itu kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Sejurus itu, kakitangan bertugas menghubungi pihak polis selain mengarahkan orang awam menjauhi bangunan itu.

Unit Pemusnah Bom serta Unit K-9 bersama empat ekor anjing pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun polis tidak menemui sebarang objek yang dikaitkan dengan bahan letupan selepas dua jam melakukan siasatan.

Pihak berkuasa kemudian mengesahkan bangunan itu selamat dan operasi harian di mahkamah itu diteruskan semula pada jam 12.30 tengahari.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, panggilan bom itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 9:28 AM