Oleh Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Kerajaan terus kerugian jutaan ringgit jika sistem pajakan tanah sedia ada khususnya tanah kepunyaan Kerajaan Persekutuan tidak dinaik taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ini kerana kebanyakan tanah milik Kerajaan Persekutuan ketika ini dipajak pada kadar nominal, bukannya mengikut nilai pasaran semasa.

Beliau memberi contoh ada syarikat yang dikenakan kadar bayaran RM120 setahun untuk satu tapak.

“Ia adalah tersangat rendah apalagi jika ia di kawasan bandar yang tentunya mempunyai nilai tanah lebih tinggi,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat PAC bersama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Datuk Seri Azemi Kasim di Parlimen di sini.

Susulan itu, Nur Jazlan melihat keperluan memperkukuhkan kuasa JKPTG untuk menjadi penjaga kepada tanah Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan hasil kerajaan melalui pajakan.

Menurutnya, ketika ini fungsi JKPTG terhad sekadar sebagai pentadbir dan tiada kuasa meletakkan sewa mengikut harga komersial.

“Memang menjadi amalan kerajaan sekarang untuk meletakkan harga pajakan tanah pada kadar nominal. Ini juga termasuk tanah yang dipajak untuk LRT selama 30 tahun pada kadar sewa tanah nominal.

“Namun jika fungsi JKPTG diperkukuh, hasil tanah dapat direkod dan menjana pulangan lebih tinggi untuk kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 10:07 AM