Anggota polis melakukan siasatan terhadap mayat yang ditemui orang awam di kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Bukit Minyak, semalam.
Oleh Azma Razana Johari

Bukit Mertajam: Mayat seorang lelaki disyaki warga asing ditemui dalam keadaan dibungkus menggunakan selimut umpama sudah dikafankan dalam kejadian berhampiran sebuah kilang di Jalan Perindustrian Bukit Minyak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mayat berkenaan ditemui orang awam yang melalui kawasan itu dan kemudian melaporkannya kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki berkenaan.

“Kami percaya mangsa meninggal dunia di tempat lain dan mayatnya ditinggalkan oleh individu berkenaan di kawasan itu sebelum ditemui orang awam.

“Pemeriksaan awal dijalankan mendapati mayat dipercayai warga asing itu masih lengkap berpakaian dan dibungkus menggunakan selimut warna gelap,” katanya.

Baharom berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengenal pasti identiti dan kewarganegaraan mangsa berikutan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.

Mayat lelaki berkenaan kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya, di sini, bagi dibedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya, sekali gus membantu siasatan kes.

“Siasatan awal dijalankan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan sebarang unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:58 AM