BUMBUNG premis yang runtuh dilanda ribut.

Sitiawan: Kira-kira 40 penduduk kampung di Pekan Gurney, di sini, mengalami kerugian selepas kediaman mereka rosak dalam kejadian hujan lebat serta ribut yang berlaku hampir sejam.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, hujan lebat diikuti ribut mengakibatkan kebanyakan rumah penduduk rosak termasuk terdapat beberapa kenderaan rosak akibat dihempap zink.

Kejadian itu menyebabkan penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik hampir 10 jam manakala hampir 40 rumah, dua rumah kedai, sebuah gereja dan sebuah sekolah mengalami kerosakan.

Penduduk, Bee Lee Lee, 42, berkata, dia yang sedang nyenyak tidur bersama ahli keluarga termasuk ibu mentuanya apabila dikejutkan dengan bunyi angin kuat disertai guruh dan petir.

Menurutnya, dia keluar dari bilik di tingkat atas rumahnya sebelum mendengar bunyi bising penduduk kampung yang menjerit menyuruh penduduk lain berjaga-jaga berikutan angin serta ribut yang sangat kuat.

“Keadaan ketika itu memang kelam-kabut selepas bilik di tingkat atas bergoyang bagaikan ingin roboh menyebabkan kami sekeluarga turun ke tingkat bawah bagi menyelamatkan diri.

“Selepas sejam barulah keadaan mulai tenang, namun hujan masih lebat dan berhenti jam 7 pagi,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, keluarganya rugi selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin manakala barangan dalam rumahnya rosak.

Seorang lagi penduduk, Kong Keng Yang, 62, berkata, dia yang sedang nyenyak tidur segera mengejutkan isterinya Seoh Ngok Mooi, 58, apabila menyedari rumahnya bergoyang sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Keadaan sangat kelam kabut pada waktu itu dengan cucu perempuan saya berusia tiga tahun menangis tidak berhenti kerana terlalu takut dan kami tidak berani keluar rumah sehingga keadaan tenang,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Sitiawan yang juga wakil Pegawai Daerah Muhammad Marzuki Ibrahim berkata, penduduk diminta membuat laporan polis terlebih dulu sebelum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, pihaknya akan meneliti perkara itu dan kemungkinan membuka pusat penempatan sementara sekiranya ada penduduk mengalami kerosakan rumah yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:39 AM