ANGGOTA bomba menunjukkan ular sawa yang ditangkap di Kampung Mani, semalam.

Padang Terap: “Ular sawa itu cuba melawan ketika saya dan seorang penduduk mahu menangkapnya menyebabkan kami melakukannya dengan berhati-hati kerana bimbang ia membelit,” kata Md Daud Salleh.

Md Daud, 82, berkata, ular sawa batik sepanjang lima meter dengan berat 70 kilogram (kg) itu ditemui melingkar di semak di dusun buah-buahan miliknya di Kampung Mani, di sini, jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, dia meminta bantuan penduduk yang kebetulan berada di situ untuk menangkap ular itu kerana bimbang ia mengancam keselamatan mereka.

“Kami memegang kepala ular sawa itu lalu menjerut dengan tali sebelum diikat pada pokok kelapa.

“Berkemungkinan ular sawa itu baru keluar dari sungai berhampiran kerana mahu bersalin kulit selain mencari tempat perlindungan akibat hujan sejak beberapa hari lalu.

“Saya menghubungi pasukan bomba jam 8.30 pagi semalam untuk mendapatkan bantuan kerana tidak mampu mengangkatnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang Penolong Penguasa Bomba Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.45 pagi semalam berhubung penemuan ular sawa batik di kampung berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Azizan Jusoh bersama lima anggota ke lokasi itu.

“Anggota bomba mendapati ular sawa batik di dusun milik penduduk dan kami menangkap semula reptilia itu menggunakan penjerut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:42 AM