Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam memerintahkan bekas suami penerbit dan pelakon A Aida membayar tunggakan nafkah anak lelaki tunggal mereka sebanyak RM20,000 yang belum dilunaskan hampir dua tahun.

Hakim Syarie Noorbyetty Mohd Nasir memutuskan demikian terhadap Suffian Sulaiman selaku penghutang penghakiman selepas dia dan bekas isterinya itu bersetuju untuk menyelesaikan kes saman penghutang penghakiman secara baik berdasarkan syarat dan terma yang dipersetujui bersama.

Noorbyetty memerintahkan Suffian, 47, yang diwakili peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain membayar tunggakan nafkah dari Mei 2013 hingga April 2015 itu secara empat kali ansuran iaitu RM5,000 pada setiap 27 haribulan bermula dari bulan ini.

Mahkamah juga memerintahkan Suffian membayar nafkah bulanan anaknya sebanyak RM500 sebulan berbanding RM300 seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Aida diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong bersyukur kerana berjaya mendapatkan hak anaknya, Muhammad Rahul, 7.

“Saya puas hati dengan keputusan ini. Walaupun tidak mendapat jumlah seperti dalam tuntutan yang saya failkan, sekurang-kurangnya anak saya mendapat haknya. Saya tahu dia mampu dan saya cuma mahu dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

Sementara itu, Suffian pula berkata, dia akur dengan keputusan mahkamah dan mendakwa kelewatan memberi nafkah berlaku kerana dia tidak diberikan nombor akaun bank oleh bekas isterinya untuk memasukkan duit.

Pada 30 September tahun lalu, Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 44, memfailkan saman penghutang penghakiman selepas mendakwa Suffian gagal melunaskan tunggakan nafkah anak lelaki tunggal mereka, Muhammad Rahul, 6, sejak bercerai dua tahun lalu.

Saman berkenaan difailkan mengikut Seksyen 176 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

Aida dan Suffian bernikah pada 20 April 2007 dan dikurniakan seorang anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 11:01 AM