IBRAHIM memasang pelita di pondok usang yang didiaminya.
Oleh Wan Kemat

Maran: Keperitan hidup menyebabkan seorang lelaki warga emas sanggup tinggal bersendirian di sebuah pondok usang yang dibina di ladang kelapa sawit di FELDA Kampung Awah, dekat sini, sejak lebih lima tahun lalu.

Ibrahim Ahmad, 80, yang berasal dari Pulau Pinang, hidup sebatang kara berhijrah ke negeri ini pada 1971 dengan bekerja sebagai penoreh getah atau bekerja di ladang kelapa sawit.

Dia yang tidak pernah berumahtangga berhasrat ingin menghabiskan usia tuanya di pondok usang dibina daripada kayu dan atap zink terbuang atas tanah milik peneroka FELDA kampung berkenaan.

Pondok hanya berlantaikan papan lapis dan dinding separuh papan serta plastik itu dilihat tidak selamat, malah tidak selesa didiami apatah lagi warga emas sepertinya.

Ibrahim berkata, kehidupan di pondok serba daif tanpa bekalan air paip, elektrik dan tandas bukan penghalang baginya untuk menghabiskan usia tua di situ.

“Saya berjalan sejauh lebih tiga kilometer setiap hari menggunakan kereta sorong untuk mendapatkan air bersih bagi tujuan minum dan memasak dari rumah seorang kenalan,” katanya.

Katanya, pada sebelah malam, dia menggunakan lampu minyak tanah dan pelita sebagai sumber cahaya untuk menerangi pondok memandangkan tiada bekalan elektrik.

“Saya tidak mahu rumah tetapi berilah bantuan wang untuk saya beli makanan berkhasiat, air minuman dan ubat-ubatan supaya badan terhindar daripada penyakit,” katanya ketika ditemui di pondoknya, semalam.

Warga emas itu berkata, buat masa ini dia tidak bekerja kerana ladang milik peneroka mula ditebang untuk tanaman semula dan hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Menurutnya, berikutan harga barangan semakin meningkat menyebabkan bantuan itu tidak mencukupi dan ada masanya dia terpaksa ‘mengikat perut’ kerana ketiadaan wang untuk membeli beras dan lauk.

“Saya tidak pernah memohon bantuan mendapatkan rumah baru kerana jika ditawarkan rumah baru, mungkin saya terpaksa menolak berikutan ketiadaan wang untuk membayar sewa, bil elektrik dan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:04 AM