HARIS (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang disorok dalam tapak kasut.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Sembunyikan dadah syabu dalam tapak kasut sukan dan alat pam angin. Itu antara taktik terbaru digunakan tiga ‘raja dadah’ untuk menyeludup bahan terlarang itu ke negara ini.

Sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Nigeria itu turut dikesan merekrut ‘keldai dadah’ dalam kalangan warga asing pelbagai negara seperti Vietnam, Amerika Syarikat dan Australia untuk membawa dadah itu.

Malah, suspek yang dikesan bergiat aktif di negara ini sejak dua tahun lalu turut mengubah laluan penyeludupan dadah iaitu dari Abuja, Nigeria ke negara China dan Dubai sebelum masuk ke negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Haris Wong Abdullah berkata, susulan risikan dilakukan pihaknya, tiga raja dadah yang mengepalai tiga sindiket dadah berbeza ditahan bersama sembilan suspek lain dalam tiga serbuan berasingan di Selangor.

“Dalam operasi itu, polis merampas dadah jenis syabu berjumlah 6.4 kilogram bernilai RM2.5 juta selain menyita dua kereta model Toyota Camry dan Honda Accord dianggarkan bernilai RM150,000.

“Semua yang ditahan berusia antara 24 dan 36 tahun itu didapati masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Menurut Haris Wong, serbuan pertama dilakukan jam 6.05 petang, Isnin lalu di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Shah Alam dan polis merampas syabu seberat 1.56 kilogram.

“Dadah itu dibungkus menggunakan kertas aluminium sebelum disorok dalam alat pam angin elektrik.

“Susulan itu polis menahan empat lelaki Nigeria di kawasan restoran di Cyberjaya dan Bandar Sri Damansara di sini,” katanya.

Katanya, dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, jam 12.45 tengah hari kelmarin, polis menahan seorang lelaki Nigeria manakala rakannya maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh kediaman ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kondominium yang disyaki dijadikan sebagai stor itu menemui 3.9 kilogram syabu yang disimpan di dalam sebuah bilik.

“Pada hari sama, dua lagi lelaki Nigeria ditahan dipercayai anggota sindiket itu,” katanya.

Beliau berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Shah Alam jam 3.40 petang kelmarin.

“Polis menemui kotak mengandungi 25 pasang kasut yang mana lima pasang daripadanya mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.9 kilogram.

“Susulan itu, serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan dan polis memberkas dua lelaki warga Nigeria disyaki anggota sindiket,” katanya.

Semua suspek yang ditahan direman akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:53 AM