Rompin: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) perlu menyiasat sekurang-kurangnya 400 parameter penerbangan dalam kotak hitam helikopter AS365N2 Dauphin (GM-IGB) yang terhempas pada 4 April lalu di Semenyih, Selangor bagi proses melengkapkan siasatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata, pihaknya perlu meneliti keseluruhan parameter berkenaan bagi mengenalpasti punca sebenar helikopter terbabit terhempas hingga mengorbankan Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Katanya, proses mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk diselesaikan dengan kerjasama pihak pengeluar pesawat terbabit yang berpusat di Perancis.

“Walaupun kita sudah mendapatkan kotak hitam, namun perlu menganalisis beberapa parameter lain bagi memperoleh maklumat sepenuhnya sebelum keputusan dilakukan.

“Laporan keseluruhan membabitkan kemalangan itu akan dikeluarkan selepas tempoh setahun, namun ia bergantung kepada maklumat dan siasatan yang masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusin.

Dalam kejadian itu, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih, Kajang, Selangor pada jam 4.55 petang, 4 April lalu.

Kemalangan itu mengorbankan Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:35 AM