Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Mayat yang ditemui dalam pukat udang oleh seorang nelayan di perairan Sungai Lang, di sini, petang kelmarin, dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bertindak terjun ke laut selepas dikejar Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, warga asing terbabit dipercayai bersama empat lagi rakannya terjun ke laut selepas memecut laju sebuah bot yang dikejar APMM di 36 batu nautika dari Pulau Pangkor menuju ke perairan Indonesia berdekatan muara Sungai Bernam.

Bagaimanapun, katanya, polis sehingga kini masih menyiasat kes itu sama ada mayat terbabit mempunyai kaitan dengan kes seorang tekong dan tiga awak-awak yang dipercayai terjun ke laut meninggalkan semua PATI dalam bot berkenaan.

“Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk mayat yang ditemui itu mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan APMM sebelum ini,” katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang, semalam, seorang nelayan tempatan berusia 44 tahun menemui mayat terbabit ketika memukat udang bersama rakan-rakannya berhampiran Jeti Kampung Sungai Lang.

Berdasarkan keadaan mayat yang memakai baju-T dan berseluar dalam itu, polis percaya mayat lelaki itu mati dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui penduduk.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini, untuk dibedah siasat.

Nor Azmi berkata, berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada anggota badan mayat terbabit.

Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu membuat laporan di Balai Polis Sungai Air Tawar atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di talian 03-32242222 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:25 AM
Skip this ad x