Abdul Rahim menunjukkan gambar bapanya, Bardi Tambi,  yang tidak ditemuisejak lima tahun lalu.
Abdul Rahim menunjukkan gambar bapanya, Bardi Tambi, yang tidak ditemuisejak lima tahun lalu.
Oleh Mohd SabranMd Sani

Johor Bahru: Usianya menjangkau 22 tahun, namun hidupnya bagaikan pendatang asing tanpa izin (PATI) apabila permohonannya mendapatkan kad pengenalan baru daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tergantung berikutan tidak ditemani bapanya.

Keadaan itu menyebabkan Abdul Rahim Bardi, 22, berdepan pelbagai kesulitan termasuk menyukarkannya bernikah dengan wanita pilihan tidak lama lagi.

Abdul Rahim berkata, dia kini terpaksa menjejaki bapa kandung yang bertaraf penduduk tetap (PR), Bardi Tambi, 57, selepas kali terakhir bertemunya lima tahun lalu.

“Saya akur dengan proses yang perlu dilalui, namun pelik kerana masih berdepan pelbagai masalah sedangkan sudah mengemukakan sijil kelahiran asli kepada JPN,” katanya ketika hadir membuat aduan di pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

“Saya difahamkan untuk mendapatkan dokumen penting itu, saya perlu membawa bapa bersama, tetapi sehingga kini dia masih gagal ditemui selepas berkahwin baru ketika saya berusia 17 tahun,” katanya.

Menurutnya, selain dokumen sijil kelahiran, sijil pernikahan ibu bapanya, surat akuan sumpah oleh pesuruhjaya sumpah menjadi sandaran bagi dirinya mendapatkan status kerakyatan.

“Secara jujur, saya tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan kad pengenalan baru sedangkan semua dokumen diperlukan sudah disediakan dan sijil kelahiran adalah asli,” katanya.

Menurutnya, masalahnya timbul selepas ibu bapanya berpisah menyebabkan semua urusan penukaran dokumen itu tidak dapat dilakukan.

“Kali terakhir saya menetap bersama bapa adalah di Kampung Pertanian, Masai manakala ibu yang juga warga Indonesia pulang ke republik berkenaan selepas mereka bercerai.

“Saya kini tinggal bersama keluarga angkat dan berharap isu kad pengenalan ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya juga bimbangkan keselamatan kerana khuatir dianggap PATI berikutan ketiadaan kad pengenalan,” katanya.

Berikutan itu, orang ramai yang mengenali bapanya diminta menghubunginya di nombor 017-7344616.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:49 AM