AYUB menunjukkan laporan polis dibuatnya.
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Kini saya tertekan serta tidak lena tidur kerana bimbang akan keselamatan keluarga, malah masyarakat juga memandang serong kerana menganggap saya penipu,” kata mangsa penipuan akaun Facebook palsu, Ayub Hamad, 30.

Dia kini tertekan kerana gambar dan namanya digunakan oleh individu tidak bertanggungjawab yang membuat akaun Facebook palsu menggunakan nama ‘Maivec Ayub’ yang dipercayai menjual alat ganti kereta curi.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak tahu mengenai kewujudan akaun itu sebelum dimaklumkan seorang rakan mengatakan gambarnya tersebar dan ada individu mencarinya kerana menipu.

“Kira-kira jam 8.30 malam tadi (semalam), rakan saya ada menghubungi dan memaklumkan yang gambar saya kini tersebar serta ada individu mencari saya kerana menipu dalam urusan jual alat ganti kereta.

“Apabila menyemak akaun itu, memang betul wujud dan gambar yang digunakan juga milik saya dan dipercayai Facebook ini sudah aktif sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, kesan daripada akaun palsu berkenaan, dia tidak henti dihujani panggilan telefon daripada rakan untuk mendapatkan kepastian.

“Susulan kejadian ini, keluarga saya turut terkena tempiasnya malah takut untuk keluar rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 10:10 AM