KHAIRY (kiri) bersalam dan beramah mesra dengan peserta seminar Meremajakan Perkhidmatan Awam di Razak School of Government, Putrajaya.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan perlu diteruskan biarpun ia bukan popular dalam kalangan rakyat dan mendapat tentangan segelintir pihak.

Itu antara intipati ucapan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di hadapan lebih 100 pegawai terdiri daripada pengurusan tertinggi kementerian dan agensi serta Jawatankuasa Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Muda dan Persatuan Perkhidmatan PTD (PTTD) pada sesi ‘Up Close and Personal’ anjuran Razak School of Goverment (RSOG) di sini, semalam.

Mengambil satu contoh dasar baru diperkenalkan kerajaan, Khairy berkata, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenal kerajaan pada 1 April lalu bukan satu dasar yang popular dalam kalangan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, ia (GST) mesti diteruskan kerana menjadi satu cara kerajaan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

“Andai kata dasar itu dihentikan ia boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.

“Tiada siapa yang suka cukai, malah apabila GST dilaksanakan pada 1 April lalu, kerajaan sudah menjangkakan ia tidak akan menjadi isu popular,” katanya.

Beliau turut mengakui simpati apabila melihat Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang terus menerus menjadi sasaran walaupun niatnya baik untuk memberi penerangan berhubung GST.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, ramai golongan muda terjebak dengan gelaja rasuah kerana kerana mempunyai kuasa yang diberikan melalui jawatan tertentu untuk membuat sebarang keputusan.

Sesi dua jam itu mengupas tajuk ‘Meremajakan Perkhidmatan Awam’ dan topik yang terlalu dekat dengan Khairy apabila beliau menekankan beberapa cabaran yang perlu dihadapi pegawai muda untuk melakukan agenda tranformasi nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 9:55 AM