Muar: Padah menipu pengguna, dua kedai telefon bimbit di Jalan Daud, di sini yang menjual pelbagai produk jenama Samsung tiruan dengan harga seperti produk asli diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muar, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1.10 petang itu, pegawai dan anggota penguat kuasa terbabit merampas 1,080 aksesori tiruan bernilai RM48,000 serta menahan dua lelaki berusia 30-an.

Ketua PPDNKK Muar Nor Azmi Lamisza berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat aduan Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd mendakwa dua kedai berkenaan menjual barangan tiruan jenamanya pada harga aksesori tulen.

“Nilai rampasan RM28,000 dan seorang lelaki tempatan mengaku sebagai penjaga kedai ditahan bagi membantu siasatan.

“Kami juga melakukan pemeriksaan di sebuah lagi kedai di jalan sama sebelum menyita 450 unit pelbagai aksesori telefon bimbit jenama Samsung dipercayai tiruan bernilai RM20,000,” katanya di sini, semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun, manakala bagi syarikat pula didenda RM15,000 bagi setiap barang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:54 AM