Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Dewan Negeri mengkaji semula dan meminda rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dibentangkan serta diluluskan Jun tahun lalu.

Baginda bertitah, beliau tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang diluluskan itu dan ia perlu dipinda supaya selaras dengan beberapa enakmen lain yang sudah diguna sebelum ini.

Rang undang-undang berkenaan dipinda mengikut desakan orang luar, tidak mengikut kepentingan Johor.

“Ia dipinda orang luar yang cetek akal yang tidak faham mengenai kuasa raja dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor.

“Sekiranya rang undang-undang itu saya luluskan, ia menjadi tidak selaras dengan beberapa enakmen lain yang diguna sebelum ini tanpa ada masalah seperti Enakmen Perbadanan Johor 1968.

“Saya berharap ahli dewan mengkaji semula rang undang-undang itu dan membuat pindaan selaras dengan enakmen lain yang berkuatkuasa di Johor,” titahnya.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-13 di Bangunan Sultan Ibrahim di sini, semalam.

Baginda meminta semua ahli dewan yang mewakili rakyat Johor memikir dan memperjuangkan kepentingan rakyat apabila berbahas bagi memutuskan suatu dasar atau undang-undang.

Titahnya, apa yang diperjuangkan tidak seharusnya bersifat politik semata-mata atau kepentingan peribadi, tetapi seimbang dengan kedudukan negeri dan rakyat Johor.

“Ketika pemerintahan nenda saya, Almarhum Sultan Ibrahim, kerajaan British cuba mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Johor, tetapi baginda bertindak tegas atas prinsip ‘Johor Mesti Jadi Johor’.

“Ketika pemerintahan saya, saya mahu menekankan mengikut prinsip ditekankan dan menjadi asas kepada dasar kerajaan serta pembangunan negeri.

“Hanya orang Johor mengetahui keadaan dan keperluan Johor, jangan biar orang luar mencampuri urusan negeri kita,” titahnya.

Pada 9 Jun tahun lalu, DUN Johor meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang bertujuan menyediakan perundangan mengenai pembangunan sektor perumahan dan hartanah di negeri itu.

Terdahulu, rang undang-undang itu merangkumi enam Bahagian, 51 fasal dan tiga jadual dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Latiff Bandi.

Lima wakil rakyat kerajaan dan tiga wakil pembangkang membahaskan rang undang-undang itu selama tiga jam sebelum diluluskan.

Rang undang-undang itu, yang sebelum ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak kerana apabila diluluskan, dikatakan menyaksikan pembabitan Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum 10 pindaan untuk lapan fasal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:19 AM