Oleh Syafiq Aznan

Shah Alam: Polis mengesahkan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditetak abang kandungnya di Kampung Jawa, Seksyen 36 di sini, Selasa lalu, berpunca akibat perebutan harta pusaka.

Gerakan memburu suspek itu masih giat dilakukan selepas suspek dikesan melarikannya diri bersama isterinya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, suspek, M Nageswaran, 37, dipercayai cuba melarikan diri ke luar negara.

Menurutnya, polis percaya suspek melarikan diri bersama isterinya berusia 33 tahun bagi memastikan wanita itu tidak membocorkan kegiatan jenayahnya.

“Kedua-dua suspek dan mangsa dipercayai bertikam lidah terlebih dahulu berikutan suspek tidak berpuas hati terhadap isu pembahagian harta pusaka diberikan ayah mereka yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

“Pertengkaran menjadi tidak terkawal sehingga akhirnya suspek bertindak menetak mangsa berulang kali hingga mati sebelum turut mencederakan adik iparnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman ‘Safecam Partnership’ di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Nestle Manufacturing (M) Sdn Bhd (Nestle) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak empat kilang milik Nestle di sekitar Shah Alam dan Klang terbabit dalam program pemantauan dan pencegahan jenayah menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) milik premis terbabit khusus bagi membantu menurunkan lagi kadar jenayah di kawasan ini.

Azisman berkata, polis juga sudah mengenalpasti motif sebenar kejadian itu berdasarkan keterangan diambil daripada saksi kejadian.

Harian Metro Khamis lalu melaporkan seorang abang sanggup menetak mati adik kandung sendiri dan mencederakan iparnya, di Jalan Kampung Jawa, Seksyen 36, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang juga seorang pemandu jentera berusia 37 tahun maut serta merta di lokasi kejadian selepas parah ditetak di belakang kepala, tangan, peha dan belakang telinga kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 10:44 AM