SWEE Keong (kanan) dan Muhammad Thaufiq pada majlis pengislaman di Masjid Cina Negeri Melaka.
Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Islam itu mudah, rugi rasanya jika saya tidak membuat keputusan tepat memeluk agama Islam. Walaupun tidak sampai satu jam menjadi saudara baru, saya dapat rasa ketenangannya,” itu luahan Ting Swee Keong, 31.

Ting yang juga pensyarah berkata, keinginannya memeluk Islam sudah lama tetapi belum ada keyakinan serta belum bersedia sepenuhnya.

Menurutnya, sebelum ini dia banyak bergaul dengan rakan beragama Islam dan itu membuatkannya mempelajari dan mengetahui mengenai Islam sehingga secara tidak langsung mempraktikkan apa yang dilakukan oleh orang Islam seperti berpuasa pada bulan Ramadan.

“Sejak belajar lagi saya berminat dengan Islam, tapi mungkin belum ada hidayah ketika itu. Kira-kira 10 tahun saya memendamkan saja keinginan ini.

“Buat masa ini, keluarga tidak tahu lagi yang saya sudah memeluk Islam, nanti tiba masa yang sesuai Insya-Allah, saya akan berjumpa dan jelaskan kepada mereka,” katanya.

Ting berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengislaman Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Melaka, di Dewan Solat Utama Masjid Cina Negeri Melaka, di sini, kelmarin.

Dia yang berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pusat latihan di Alor Gajah, di sini, berkata, penghijrahannya itu diharap memberi kehidupan yang lebih sempurna, malah dia berterima kasih kepada sahabatnya yang banyak memberi bimbingan dan dorongan buatnya.

Sementara itu, seorang lagi saudaranya yang turut memeluk Islam pada majlis sama ialah Muhammad Taufiq Loi Abdullah, 47.

Menurut Muhammad Taufiq, keinginannya memeluk Islam bermula selepas dia bermimpi menunaikan solat.

“Kira-kira setahun yang lalu, saya bermimpi yang saya menunaikan solat dan apabila selesai menjalankan kewajipan itu, hidup ini terasa amat tenang dan damai.

“Sebaik terjaga daripada mimpi berkenaan, saya kedengaran azan Subuh dan terlintas di hati yang mungkin ini petanda buat saya mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:46 AM