ORANG ramai berbaris di kaunter pendaftaran M Residence 2 di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Oleh Suraya Roslan

Rawang: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan 1,538 unit apartmen mampu milik di Bandar Tasik Puteri, di sini, melalui program di bawah kerajaan negeri iaitu Rumah Selangorku.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, bagi M Residence 2 tawaran bagi unit kediaman tiga bilik dan dua parkir kereta itu memiliki keluasan 850 kaki persegi dan dijual dengan harga RM170,000 seunit.

“Projek M Residence fasa pertama, kedua dan ketiga dibangunkan syarikat Mah Sing dengan dilengkapi kemudahan komuniti seperti taman permainan, surau, tadika, dewan serbaguna dan sekolah kebangsaan.

“Malah, kediaman M Residence 2 ini terletak di lokasi strategik iaitu 10 minit memandu daripada Plaza Tol Rawang, lima minit dari Jalan Tasik Puteri dan berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR),” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pendaftaran Rumah Selangorku M Residence 2 di Bandar Tasik Puteri, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, Pengerusi Mah Sing Group, Tan Sri Yaacob Mat Zain dan Pengurus Besar, Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya menyasarkan 20,000 rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

“Ini adalah kerjasama pertama antara kerajaan negeri dan Mah Sing dalam mewujudkan Rumah Selangorku.

“Orang ramai terutama di Selangor perlu merebut peluang untuk mendapatkan unit kediaman ini dengan memohon dan mendaftar di laman web LPHS di http://lphs.selangor.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:30 AM