Anggota bomba mengeluarkan  mangsa yang tersepit untuk dihantar ke Hospital Bentong selepas kemalangan di Kilometer 66, Lebuhraya Bentong-Karak.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit untuk dihantar ke Hospital Bentong selepas kemalangan di Kilometer 66, Lebuhraya Bentong-Karak.

Bentong: Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa selepas menghantar bekalan air batu ke sebuah restoran di daerah ini, parah selepas lori dipandunya merempuh belakang sebuah lori pasir, di Kilometer 66 Lebuhraya Karak-Bentong, semalam.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, Mohd Halim Halim, 32, dari Kampung Parit Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Johor, mengalami patah kaki dikejarkan ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Anuar Hassan berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa yang dalam perjalanan ke bandar ini dari Karak dipercayai mengantuk lalu merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Akibat rempuhan itu, mangsa di tempat duduk pemandu tersepit dan patah kaki selain cedera di muka sebelum dibantu dikeluarkan oleh tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bentong,” katanya.

Beliau berkata, ketika tiba di tempat kejadian mangsa tidak dapat bercakap dan mengerang menahan kesakitan akibat kecederaan dialami meminta pihak bomba segera mengeluarkannya dari tempat duduk pemandu.

Katanya, pihaknya terpaksa menggunakan sejenis alat dikenali sebagai ‘Power Unit’ dalam usaha memotong pintu bahagian pemandu sebelum mangsa dapat dikeluarkan setengah jam kemudian dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:35 AM