Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman (tengah) bersama Mohd Saipul (empat dari kiri).

Georgetown: Kerjasama sepasukan menyaksikan Harian Metro Pulau Pinang mencatat kejayaan cemerlang apabila mengungguli Anugerah Utama Berita Terbaik Bahasa Melayu (Media Cetak) pada Malam Media Universiti Sains Malaysia (USM) 2014/2015 di sini, kelmarin.

Gandingan Ketua Biro Harian Metro Pulau Pinang Mohd Saipul Adli Mohamad bersama Salman Hamat, Hadzlihady Hassan, Azma Razana Johari dan Zuhainy Zulkifli menerusi artikel Laporan Bersiri Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 dianjurkan di Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal pada 24 dan 25 Oktober tahun lalu, berjaya memikat juri.

Pengiktirafan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan manakala Pengarang Bersekutu Berita dan Integrasi Media Harian Metro Tuan Mohd Asri Tuan Hussein yang juga alumni USM menerima Anugerah Khas USM dan membawa pulang sijil penghargaan dan plak.

Selain itu, skuad bowling Harian Metro menduduki tempat keempat berpasukan Kejohanan Bowling Media/USM 2014/2015 di Premium Lane Bowling, Sunshine Bayan Baru diadakan sehari sebelum itu.

Secara keseluruhan, Kumpulan The New Straits Times Press (M’sia) Bhd (NSTP) Pulau Pinang menguasai anugerah bagi media cetak apabila jurugambar Mohamad Danial Mohamad Saad memenangi Anugerah Utama Kategori Foto menerusi rencana Rintis yang memberi ruang kepada pelajar mempamerkan reka cipta, sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Anugerah Khas Juri Kategori Berita Bahasa Melayu (Cetak) dimenangi wartawan Berita Harian Kalsom Rahmathullah menerusi laporan berita Inovasi Pelajar USM bantu OKU yang membolehkannya membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil.

Wartawan Berita Harian, Anis Nabilla Md Wazilah memenangi Anugerah Khas Juri Kategori Rencana Bahasa Melayu menerusi laporan Program Agro-Ladang USM Lahir Usahawan Cendawan manakala jurugambar NSTP Muhammad Mikail Ong Abdullah memenangi Anugerah Khas Juri Foto Kategori Rencana.

Anugerah Tokoh Media USM dianugerahkan kepada Editor Urusan Bernama Synergy Sdn Bhd Sherkawi Jirim serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 10:33 AM