Juriah memimpin Nurul Sharmin ketika pulang dari sekolah selepas 3 tahun tidak hadir ke sekolah.
Juriah memimpin Nurul Sharmin ketika pulang dari sekolah selepas 3 tahun tidak hadir ke sekolah.
Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: “Saya bersyukur kerana dapat kembali semula ke sekolah selepas tiga tahun berhenti kerana menderita sakit buah pinggang,” kata Nurul Sharmin Natasya Abdullah, 17, pelajar Sekolah Menengah Tengku Bariah, di sini, yang menghidap buah pinggang tahap empat.

Menurutnya, keadaannya 50 peratus jauh lebih baik berbanding sebelumnya dan mengucapkan terima kasih kepada bantuan Harian Metro mendedahkan penderitaan saya membuka hati pembaca akhbar itu menghulurkan bantuan dan sumbangan.

“Dengan sumbangan ini, saya dapat membeli ubat dan keperluan lain secara berterusan yang dianggarkan sebanyak RM600 sebulan,” kata Nurul Sharmin.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Tasya berkata, selepas mengambil ubat dan makanan tambahan secara berterusan sejak awal tahun menyebabkan kesihatannya sudah jauh berubah berbanding sebelumnya juga mampu bercakap serta berjalan.

Menurutnya, dia gembira dan tidak menyangka dapat kembali semula ke sekolah selepas tiga tahun tidak hadir, malah kehadirannya ke sekolah pada Januari lalu memberi kejutan kepada guru yang bagaikan tidak percaya dengan perubahan dirinya.

“Bukan hanya guru dan rakan terkejut lihat saya datang ke sekolah, malah saya sendiri tidak menyangka kerana sejak tiga tahun menderita penyakit ini, saya seperti berasa sudah mati.

“Saya bersyukur kerana Allah memberi semula kekuatan untuk saya kembali meneruskan kehidupan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, keluarganya mengalami masalah kewangan menyebabkan dia yang tinggal bersama ibu, Juriah Wahab, 38, serta nenek tidak dapat membeli keperluan termasuk makanan tambahan secara berterusan.

Sementara itu, Juriah berkata, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu bagi membeli makanan tambahan untuk Tasya kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Selepas kematian suami disebabkan penyakit buah pinggang, kencing manis dan jantung kira-kira dua tahun lalu, saya kehilangan tempat bergantung dan sejak Mei lalu hanya mengharapkan duit bantuan JKM.

“Dengan wang itulah kami berbelanja setiap bulan dan disebabkan tidak mencukupi, saya terpaksa mengambil keputusan tidak balik ke rumah selepas melakukan rawatan Tasya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) setiap Sabtu, Isnin dan Rabu.

“Ketika keluar membuat rawatannya, saya terpaksa meninggalkan tiga anak termasuk dua anak daripada mereka adalah orang kurang upaya (OKU) iaitu Nurul Athirah Hurairah, 9, dan Aqilah Fatehah, 11, mengidap autisme kepada nenek mereka (Hindun Ngah, 59) yang tinggal bersama saya,” katanya yang tinggal di Kampung Surau Haji Kadir, Pasir Panjang, di sini.

Menurutnya, seorang lagi anaknya yang juga bongsu adalah Qaseh Nurjannah, 4, tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan, tetapi masih kecil.

Katanya, dia gembira apabila melihat kesihatan anaknya yang semakin baik dan boleh berjalan kaki ke sekolah selain raut wajahnya tampak ceria.

“Saya tidak malu untuk menyatakan yang kami amat memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai kerana demi kesihatan Tasya kerana sudah dua minggu terputus bekalan ubat dan makanan tambahan kerana ketiadaan wang,” katanya.

Menurutnya, dia mengharapkan bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung dan setiap sumbangan bolehlah disalurkan terus ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nurul Sharmin Natasya, 11114-29- 00016141-7.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 9:17 AM