MOHD Fauzi membawa pulang hadiah RM500 dan sijil pada Malam Anugerah Media Pahang - DRB HICOM.
Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my

Kuantan: Laporan bertajuk ‘Teringin Jumpa Model Tugu Negara’ mengisahkan seorang bekas tentera mencari empat rakannya yang turut menjadi model ukiran monumen bersejarah itu membawa tuah kepada wartawan Harian Metro (HM), Syah Rul Aswari Abdullah. Dia dinobatkan pemenang utama Anugerah Kewartawanan Media Pahang-DRB HICOM, di sini, malam kelmarin.

Lebih manis, kemenangan dalam majlis julung kali diadakan itu disokong dengan kejayaan memenangi tempat pertama kategori penulisan bahasa Melayu, sekali gus pencapaian berkenaan melayakkan Syah Rul Aswari menerima hadiah RM2,000 dan sijil.

“Saya tidak menyangka penyertaan yang hanya sekadar untuk mencuba berakhir kejayaan begitu membanggakan yang tidak disangka terutama apabila terpaksa bersaing dengan beberapa wartawan berpengalaman.

“Ini rezeki saya, kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha mendapatkan lebih banyak laporan menarik bagi tatapan pembaca setia HM,” katanya yang berpengalaman 10 tahun sebagai wartawan HM.

Turut melakar kejayaan membanggakan, Ketua Biro HM Pahang Mohd Fauzi Abdullah yang mendapat tempat kedua kategori penulisan bahasa Melayu melalui laporan bertajuk ‘Ayah 12 Tahun: Si Kecil Perah Kudrat’ untuk membawa pulang hadiah RM500 dan sijil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 9:20 AM