AHLI Skuad Muda 1JPJ berkumpul selepas majlis perasmian di Putrajaya.
AHLI Skuad Muda 1JPJ berkumpul selepas majlis perasmian di Putrajaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Penggunaan istilah ‘mat rempit’ tidak sesuai digunakan kepada pengguna motosikal kerana disifatkan boleh menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, penggunaan ‘bikers muda’ adalah lebih sesuai untuk ditujukan kepada mereka, sekali gus ia perlu ditukar kepada istilah berkenaan.

“Istilah ‘mat rempit’ ini pada pandangan masyarakat ialah orang yang melanggar peraturan, terbabit dengan dadah serta menggambarkan nilai tidak baik.

“Justeru, kita jangan memanggil ‘mat rempit’ tetapi ditukar kepada ‘bikers muda’,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Festival Autocity sempena Festival Belia Putrajaya 2015 di sini, semalam.

Mengenai statistik kemalangan, Ismail berkata, 480,000 kemalangan direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 6,674 kematian dicatatkan di mana 61 peratus daripadanya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan 300,000 ahli berdaftar dengan Skuad Muda 1JPJ bagi fasa pertama menjelang akhir tahun ini.

“Skuad ini ditubuhkan awal tahun lalu dan sehingga kini, kami mempunyai 170,000 ahli dan mereka termasuklah 200 kelab permotoran di negara ini.

“Kami berharap mencapai angka yang disasarkan sebelum masuk ke fasa kedua yang menyasarkan 500,000 ahli menjelang 2020,” katanya.

Berikutan itu, Ismail berkata, pihaknya berharap kerjasama semua pihak terutama persatuan permotoran supaya menjalinkan kerjasama dengan JPJ berhubung skuad muda itu.

“Melalui skuad ini, kami bekerjasama rapat dengan persatuan permotoran serta kereta di mana mereka ini turut mempromosikan isu keselamatan jalan raya.

“Hasrat kami mahu pengguna jalan raya prihatin dengan isu keselamatan kerana ia bukan semata-mata tanggungjawab JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi semua pihak turut terbabit.

“Dengan skuad ini, kami mahu gelombang kesedaran dalam kalangan orang ramai dalam mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 9:24 AM