KEADAAN bilik utama yang berselerak selepas digeledah penyamun.
KEADAAN bilik utama yang berselerak selepas digeledah penyamun.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: “Anak sempat menelefon saya sebaik terdengar pintu bilik dia ditendang kuat sebelum suspek merampas telefon bimbit dan mula mengikat tangan serta kakinya,” kata seorang guru wanita berusia 40-an yang enggan dikenali.

Banglo guru itu di Taman Permai, Demit, Kubang Kerian, di sini, diceroboh lima penjenayah bersenjatakan pedang samurai pada jam 11.20 pagi, semalam.

Ketika kejadian, hanya anak sulungnya yang juga pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berusia 19 tahun berada di rumah.

Menurutnya, suspek memecah masuk rumah itu dengan mengumpil jeriji tingkap di bahagian tepi rumah, malah turut meninggalkan pedang samurai yang digunakan untuk menakutkan anak lelakinya dalam longkang rumah.

“Ketika anak menelefon, saya sedang mengajar di sekolah tidak jauh dari rumah dan dia sempat memberitahu ada orang masuk rumah.

“Selepas panggilan diputuskan, saya segera menghubungi jiran untuk meminta bantuan meninjau keadaan anak.

“Memang tiada orang di rumah masa itu, hanya dia seorang sahaja. Dia pula ketika itu tidur kerana demam.

“Saya minta pelepasan pulang awal dan melihat polis sedang melakukan pemeriksaan di rumah dan anak saya selamat. Itu yang pentingnya, saya bersyukur,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Guru itu berkata, kaki dan tangan anaknya diikat menggunakan kain selain diacukan senjata sebelum perompak terbabit menggeledah tiga bilik tidur.

Katanya, antara barang yang hilang adalah komputer riba, telefon bimbit selain dokumen peribadi mangsa dianggarkan bernilai RM5,000.

“Ini juga kejadian keempat berlaku di rumah saya sejak kami sekeluarga tinggal di sini tiga tahun lalu. Namun, ketika itu saya dan keluarga tiada di rumah.

“Beberapa hari sebelum ini pun, jiran ada memberitahu sering ternampak sebuah pacuan empat roda kerap melalui hadapan rumah, namun kami tak syak apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Menurutnya, ketika kejadian hanya ada seorang penuntut institusi pengajian tinggi di dalam rumah terbabit dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Suspek seramai lima orang menggunakan pedang samurai dan melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.

“Antara barang yang hilang adalah komputer riba, telefon bimbit dan dokumen peribadi mangsa dianggarkan bernilai RM5,000.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 9:19 AM